Profesor Madya Ts. Dr. Roshahliza hasilkan sistem pengairan solar guna titisan menerusi kaedah IoT

Profesor Madya Ts. Dr. Roshahliza hasilkan sistem pengairan solar guna titisan menerusi kaedah IoT

PEKAN, 17 Oktober 2023 - PaTrIoT atau singkatannya Parit Tray IoT ialah sistem pengairan solar menggunakan pengairan titik (drip) bagi mengairi tapak semaian kecil untuk biji benih kelapa sawit dengan menggunakan teknologi internet benda (internet of things). 

Manakala Dulang Parit (Parit Tray) pula ialah peralatan yang digunakan bagi mencambahkan biji benih kelapa sawit dengan menggunakan teknologi IoT dalam mengawal air yang masuk ke dulang tersebut.

Menurut pensyarah kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Roshahliza M Ramli, 40, penyelidikannya yang bertajuk ‘PATRIOT: IoT-Enabled Solar Irrigation System for Oil-Palm Pre-Nursery’ itu telah bermula pada Mac 2021 dan siap sepenuhnya pada November 2022. 

“Penyelidikan ini bermula setelah saya berjaya menyiapkan sistem pengairan solar pintar pada tahun 2020. 

“Sewaktu Pertandingan Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREx) 2020, saya telah didatangi oleh pegawai daripada YP Plantation Holdings Sdn. Bhd. yang berminat dengan sistem tersebut untuk dipasangkan di tapak semaian kecil kelapa sawit yang baharu dibina oleh mereka. 

“Bermula dari situ, kami cuba memperbesarkan skala sistem yang telah dibuat sebelum ini kepada kawasan tapak semaian kecil seluan 0.7 hektar,” ujar anak kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini,” ujarnya. 

Katanya, sistem yang telah dibangunkan ini menggunakan tenaga solar sepenuhnya sebagai sumber kuasa kepada peralatan dan komponen yang digunakan di dalam projek ini. 

“Kami menggunakan pam air solar bagi menyalurkan air dengan tekanan yang cukup daripada tangki simpanan air ke 46 jalur pengairan. 

“Setiap satu jalur tersebut dapat mengairkan sehingga 2,400 biji benih serentak setelah injap air dibuka secara automatik mengikut masa yang telah ditentukan oleh penyelia ladang atau melalui sensor yang dipasang pada setiap jalur tersebut. 

“Setiap injap air di jalur pengairan dapat juga dikawal selia melalui aplikasi mudah alih yang dibangunkan bersama-sama sistem ini,” katanya. 

Penyelidikan itu dijalankan bersama pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar dan Pegawai Latihan Vokasional Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi (PRInT), Ts. Joharizal Johari.

Penyelidikan ini juga turut dibantu oleh Felo Perunding and Penasihat Projek, Dato’ Dr. Mortaza Mohamed serta beberapa pelajar tahun akhir diploma dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan di FTKEE.

Sumber: https://news.ump.edu.my/research/profesor-madya-ts-dr-roshahliza-hasilkan-sistem-pengairan-solar-guna-titisan-menerusi


Cetak   Emel